Karangan Fitriyani
Karangan Deskriptif
Nama: Fitriyani Shukmah
Kelas: 306
Tajuk: Kamu, rakan sekolah dan beberapa guru telah pergi ke Pulau Ubin untuk meneroka kehidupan masyarakat di sana . Gambarkan pengalaman kamu itu dan peristiwa menarik yang berlaku semasa lawatan tersebut.
Pagi-pagi lagi, sekitar jam tujuh pagi pada tarikh 8 November 2011 , para pelajar Melayu Menengah Tiga Ekspres sudah pun berkumpul di kantin sekolah. Setelah para guru mengambil kehadiran pelajar-pelajar yang sudah hadir, saya dan rakan-rakan dibahagikan menjadi empat kumpulan yang sudah diatur kelmarin saat taklimat. Saya berasa sangat berghairah pada pagi itu dan saya yakin rakan-rakan saya berasa begitu juga. Walaupun begitu, ada sedikit rasa kurang yakin kerana ragu tidak boleh beradaptasi di sana .
Kami juga telah diberikan amaran agar tidak memalukan diri sendiri dan menjaga baik nama sekolah. Guru-guru juga memperingati kami akan tujuan kami ke Pulau Ubin iaitu untuk mengenal pasti dan mencari tahu lebih lanjut dan mendalam tentang budaya Melayu dari segi hidangannya ke permainan tradisional yang kini jarang diambil tahu dan juga diamalkan.
Setelah bas-bas sekolah sudah sampai di tempat meletak kereta, ada sesetengah daripada kami berlari menuju salah satu bas tersebut. Perjalanan kami lumayan jauh dari Tampines ke Changi. Tetapi bukan saja kami dapat menaiki bas sekolah besama-sama, kami juga berkesempatan untuk menaiki bot ke Pulau Ubin yang mengambil masa sekitar 10 minit. Cukup untuk pendatang yang pertama kali ke sana .
Sesampainya kami ke jeti Changi, kami diberikan taklimat sekali lagi oleh penganjurnya dan diberikan $5 untuk setiap pasangan menaiki bot. Dalam perjalanan ke Pulau Ubin, kami sibuk mengambil gambar pemandangan di sana tetapi sayangnya, kami tidak dibenarkan untuk berdiri. Sepuluh minit kemudian, kami sudah pun menjejaki tanah Pulau Ubin. Sebuah van kecil menghantar kami ke pedalaman kampung. Para guru membahagikan keempat-empat kumpulan menjadi tiga kumpulan dan langsung beranjak ke aktiviti pertama.
Dalam kegiatan “Food-tasting” atau difahami sebagai aktiviti dimana kami dikehendaki untuk mengenal pasti tumbuh-tumbuhan dan pelbagai limau yang ada di Pulau Ubin seperti daun pucuk ubi dan daun pandan, limau kasturi dan juga limau nipis. Para pelajar juga diharuskan untuk mencuba memasak kuih dadar. Ketika melihat ahlinya memasak kuih dadar dengan tangan mereka yang lentur dan sudah pasti terbiasa memasak bermacam-macam kuih, kami beranggapan bahawa memasak kuih dadar adalah sesuatu yang mudah tetapi setelah kami mencubanya, apa yang kami fikirkan sama sekali tidak berpihak kepada kami. Sangat susah.
Kemudian, kami berpindah ke aktiviti lainnya iaitu Lukisan Batik. Sebelum bermula melukis batik, kami diajarkan dahulu bagaimana untuk menggunakan canting untuk menyedok cairan lilin dan pergerakkan tangan kami. Kegiatan itu diadakan di hadapan rumah kampung, di bawah tenda yang telah didirikan. Kami diwajibkan untuk berlatih dahulu sebelum bermula dan setelah itu, kami memilih satu templat untuk dilukis. Walaupun sukar untuk kami, kami tetap berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk setiap aktiviti yang kami lakukan. Kami juga tidak ingin kalah semangat dari guru yang mewakili kumpulan kami, Cikgu Nuraishah.
Aktiviti ketiga dilakukan selepas kami berisirahat tengah hari. Kali ini, kegiatannya dilakukan di rumah kampung berwarna biru milik Nek Hitam yang berhampiran dengan rumah kampung dimana beg-beg kami dititipkan. Di sana , kami bermain beraneka permainan tradisional. Diantaranya adalah permainan congkak, gasing, tarik upih dan tapak kuda. Permainan congkak sangat mudah dimengerti kerana pada zaman sekarang, anak watan masih memainkan permainan itu. Tetapi sebaliknya untuk permainan gasing, tarik upih dan tapak kuda. Justeru, kami berpeluang untuk bermain kesemua permainan itu kecuali apak kuda kerana hari sudah pun hujan dan tidak memungkinkan kami untuk bermain.
Ketika kami bermain tarik upih di perkarangan rumah Nek Hitam, peristiwa menarik telah terjadi dimana ahli kumpulan saya, Syahmi, terjatuh ketika bermain tarik upih. Mungkin mereka terlalu girang dan bersemangat sehingga mereka yang menarik upih itu, Fairuz dan Daiyanah, tidak sengaja melepaskan genggaman mereka dari upih dan akhirnya upih itu terkoyak sedikit. Bukan sahaja upih itu yang terkoyak, tetapi juga seluar Syahmi. Dia tergolek-golek di tanah dan kami semuanya tertawa melihat gelagat rakan-rakan kami.
Setelah itu, kami dibawa kembali ke tenda dan bersiap-siap untuk bersurai. Jelas saja banyak pengajaran yang saya dan rakan-rakan dapatkan dalam pengalaman kami ke Pulau Ubin. Diantaranya, kami mempelajari banyak tentang budaya Melayu seperti permainan tradisional dan juga tumbuh-tumbuhan untuk perubatan, masakan dan wangi-wangian. Kami juga jauh dari teknologi canggih dan seharusnya kami belajar untuk bersyukur atas apa yang kami dapatkan di Singapura. Pada keseluruhannya, perjalanan ini memberi saya banyak manfaat.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home